Rekabentuk dan pembangunan NHI NH90

Pada 1 September 1992, NH Industries telah menandatangani kontrak reka-dan-bangun NH90 dengan NAHEMA (Agensi Pengurusan Helikopter NATO). Agensi ini mewakili empat buah negara yang meyertainya iaitu: Perancis, Jerman, Itali, dan Belanda. Portugal kemudian menyertai agensi ini pada 21 Jun 2001. Kerja-kerja rekabentuk bermula pada 1993, dengan prototaip pertama, PT1 telah melakukan penerbangan sulung pada 18 Disember 1995. Prototaip kedua, PT2 pula membuat penerbangan sulung pada 19 Mac 1997 manakala prototaip ketiga, PT3 pula pada 27 November 1998.

Helikopter NH90 telah dibangunkan dalam dua versi utama: pertamanya sebagai Helikopter Pengangkut Taktikal (HPT) dan kedua sebagai Helikopter Frigat NATO (HFN). Bagaimanapun, kebanyakan negara-negara pelanggan telah meminta penyelesaian khas untuk helikopter NH90 mereka. Program ini mengalami beberapa masalah teknikal dan dana pada awal 1990-an, tetapi pesanan yang besar sebanyak 298 buah helikopter telah dilancarkan pada 30 Jun 2000 oleh negara-negara rakan kongsi. Ia kemudian diikuti oleh pesanan daripada negara-negara Eropah, Asia dan Australia.

Pada awalnya, NH90 akan dikeluarkan di tiga buah kilang pemasangan; Cascina Costa di Itali untuk AgustaWestland, Marignane di Perancis dan Donauwörth di Jerman untuk Eurocopter. Bagaimanapun, kontrak Finland dan Australia telah menggariskan pengeluaran dilakukan dalam negara (iaitu firma Patria di Finland dan Brisbane di Australia).